Thursday, October 1, 2009

Empat Ringgit

Seperti biasa, solat Zuhur di Masjid Al A'zim. Selepas selesai solat, aku didatangi oleh seorang lelaki tua. Beliau menceritakan kisahnya. Beliau tinggal di Bukit Rambai Melaka. Beliau datang ke sini bersama rakannya. Rakannya telah meninggalkannya dan beliau tiada wang untuk balik ke rumah.

Otak aku ligat berfikir. Betul atau tidak apa yang telah diceritakan? Adakah ianya hanya alasan. Jika aku seperti beliau, mustahil untuk mengikut rakan ke suatu tempat tanpa membawa wang walau sedikit pun. Selepas itu, aku bertanya, berapa tambang untuk pulang ke Bukit Rambai? Beliau pantas menjawab, empat ringgit.

Aku pun memberi seperti yang dikehendaki. Dalam hatiku, nilai empat ringgit tidaklah begitu besar. Kita tidak akan jadi papa jika bersedekah dengan nilai yang kecil itu. Jika benar cerita pakcik ini, mungkin aku telah bersangka buruk terhadap beliau. Maafkan aku wahai pakcik Bukit Rambai.

Namun, jika nilai empat ringgit itu bukan untuk tambang yang diceritakan, aku halalkan. Pendapat aku, jika bukan untuk tambang, mungkin ianya untuk makan. Menolong orang di masa kesusahan adalah kewajipan kita.Aku juga pernah hidup susah. Aku bukan dilahirkan daripada keluarga kaya raya. Bapaku dan arwah ibuku merupakan penoreh getah yang membesarkan lapan orang anak.

Semoga pakcik ini selamat sampai ke rumahnya, InsyaAllah.

No comments: