Saturday, December 31, 2011

Mari kita berazam

Azam untuk tahun 2012:-

1) solat awal. Lebih baik di masjid atau sekurang-kurangnya 1 waktu berjemaah di masjid.

2) buat rph sebelum balik ke rumah.

3) baca Al Quran sekurang-kurangnya 1 muka setiap waktu.

4) tidur awal, bangun awal.

5) pilih satu hari dalam seminggu untuk dengar kuliah agama di masjid.

6) hafalkan ayat lazim sekurang-kurangnya sebulan 1 surah.

7) baca 1 hadis setiap hari.

8) cuci kereta setiap minggu.

9) kemas rumah setiap minggu.

10) muhasabah diri setiap hari sebelum masuk tidur.

11) pergi kerja awal.

Semoga Allah permudahkan.

Friday, December 16, 2011

kisah dunia

Selalu Kisah Kaisara, kali ni nak cerita kisah dunia...

Ramai penjawat awam tengah hot.

Kenapa?

Saya pun tidak pasti.

Dengarnya mereka tidak puas hati tentang kenaikan gaji...

Memanglah kalau pangkat besar patut dapat gaji besar.

Itu betul.

Tapi kenalah sama cara pemindahan gaji dari skim lama ke skim baru.

Kalau golongan atasan dulu gaji di t8 boleh pindah ke t8 juga pada skim baru...(dengarnya),

golongan bawahan pun nak cara yang sama...

Katanya la...based on pembacaan saya dari media dan blog-blog

Entahlah...saya pun tak berani komen...

Tapi kerani saya yang pergi taklimat gaji minggu lepas pun kata beliau tidak dapat sifir gaji yang baru...

Tapi kena tanda tangan borang sbpa dari kalau nak pilih skim baru...

Macam mana nak tanda tangan ek kalau maklumat pun macam sahih tak sahih...

Tunggu aje la...

Wednesday, December 14, 2011

sbpa

tajuk hot buat masa ini...

Khususnya untuk penjawat awam...

As usuall la kan...ada yang puas hati...

Ada yang tak puas hati...

Biasanya ianya berkaitan dengan gaji...

Namun ada kalanya kita kena muhasabah diri ???

Adakah kita menikmati kenaikan gaji itu???

Adakah kenaikan itu lebih jika dibandingkan dengan sebelum ini???

Adakah kita lebih beruntung berbanding orang yang bekerja di kampung???

Orang yang bekerja di kilang-kilang???

Jika banyak jawapan dari soalan di atas ialah YA!

Maka;

Bersykurlah!

Bersyukurlah!

Bersyukurlah!

Sekian.

Wednesday, October 26, 2011

salah sangka atau salah faham

Kadang kala, apa yang kita sangkakan tidak semestinya sama dengan apa yang orang lain fikirkan...Contohnya, seseorang yang pergi ke masjid hanya keranaNya tetapi sangkaan orang lain mungkin tidak begitu. Ada orang yang suka membantu orang lain seperti menumpangkan orang yang sedang berjalan menuju ke rumah tetapi mungkin lain apa yang difikirkan oleh orang itu.

Betullah orang selalu kata, rambut sama hitam tetapi hati lain-lain lain-lain. Cuma, apa yang pasti, kita tidak dapat menipu perasaan kita sendiri lebih-lebih lagi, apabila kawan baik sendiri membuat sangkaan yang berlawanan dengan apa yang kita fikirkan.

Semoga kita sentiasa diberkati dan dilindungiNya. Amin...

Tuesday, September 6, 2011

MC

Assalamualaikum,
Lama sungguh blog ini sudah tidak dikemaskini. Tidak tahu mengapa. Barangkali, auranya sudang berkurang sedikit demi sedikit. Hari ini tidak dapat ke sekolah...batuk yang amat sangat. Risau juga takut-takut ianya serius. Harap-harap, ianya biasa-biasa sahaja...

Saturday, June 4, 2011

Tua

Kini, keinginan meng"update" blog agak menurun. Tidak tahu saya di mana silapnya. Ataupun mungkinkah kerana saya sudah memasuki fasa tua. Ohhh, tidak!!!!

Mulut tidak mahu tetapi hakikatnya, inilah kenyataan. Tidak dapat ditidakkan. Usia sebenarnya bukanlah suatu yang penting. Tetapi, pada pendapatsaya, ia hanyalah ingatan untuk diri sendiri. Ramai yang menganggap usia semakin lama, semakin bertambah. Namun, hakikat sebenar yang tidak dapat disangkal, sebenarnya usia kita semakin lama, semakin berkurang. Ia merupakan penantian untuk berjumpa pada yang Esa.

Apa yang perlu dipersoalkan, sudah cukupkah bekalan di dada. Kita sering risau jika kita kurang bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Namun, adakah kerisauan seperti ini juga berlaku untuk kita menanti saat-saat kematian kita?

Friday, May 6, 2011

Pak Pandir

Salam,

Apa yang terjadi pada hari ini amat pelik dan jarang berlaku. Biasanya saya meletakkan kunci rumah di dalam kereta. Namun, pada hari ini, saya menyimpannya di dalam kotak pensel saya. Emmmm, tidak mengapa. Biasa sahaja.

Pada pukul 12 tengah hari, isteri menelefon saya. Beliau perlu menghadiri kursus yang telah berlangsung sejak semalam. Suka tidak suka, mahu tidak mahu, beliau perlu hadir di tempat kursus pada jam 2 petang.
Nota: Isteri saya tidak berani untuk memandu buat masa kini...

Jadi, saya berpesan kepada beliau agar makan, solat dan menunggu saya. Oleh itu, beliau tidak sempat untuk pulang ke rumah. Setibanya di tempat kursus, isteri saya ingin meminkam kotak pensel saya kerana kotak pensel saya agak kecil dan mudah untuk dibawa.

Saya hanya menyedari yang saya tidak membawa kunci rumah lebih kurang 2 km dari rumah saya. Kemudian, saya berpatah balik ke tempat isteri saya berkursus. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berehat di sekolah sahaja.

Kejadian yang sama berlaku lagi pada malamnya. Bezanya bukan kerana kunci rumah berada di dalam kotak pensel. Kali ini, kunci rumah saya terletak di dalam rumah. Kali ini, saya sedar pada setengah perjalanan pulang ke rumah. Emmm, cuainya saya pada hari ini...

Hati ini mulanya ingin marah juga. Bukan marah dengan orang lain. Marah pada kecuaian diri sendiri. Tetapi, bila berfikir sejenak dengan menarik nafas sedalam-dalamnya, saya pasti...semua yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Namun, hanya kita sebagai manusia biasa tidak memahaminya.

Wednesday, May 4, 2011

ambil kesempatan! Cehhh

salam,

sudah lama rasanya saya tidak mengemaskini blog ini. Mahu kata sibuk sangat, tidaklah juga. Mahu kata free sangat pun, tidak juga. Kira sibuk "suam suam kuku" sahaja. Update kali ini hanya menjana sedikit persoalan.

Apa perasaan agaknya jika ada orang yang mengambil kesempatan terhadap kita?Emmm, kadang kadang, rasa macam hendak melawan sahaja tetapi jiwa saya sebenarnya bukan begitu orangnya. Sepatutnya, orang yang berkenaan faham sendiri. Sudah dewasa, bukan masih kanak kanak lagi.Tetapi awas! Jangan sampai kesabaran saya tercabar...Nanti tidak pasal pasal kena marah dengan orang muda ini. Kan sudah tidak seronok.

Betul kata senior saya, jangan terlalu baik. Nanti orang pihak kepala kita. Ye...kini saya mulai memahami apa yang diperkatakan.

Untuk ingatan diri sendiri, ini merupakan kali kedua berlaku kejadian seperti inu. Nampaknya, saya perlukan angin baru. Harap Allah permudahkan permohonan saya nanti. Amin.

Thursday, March 24, 2011

Menunggu

Perkara utama yang amat dibenci ialah menunggu. Emmm, terkedu apabila seorang jurujual berpesan yang saya perlu menunggu selama lebih kurang 90 minit. Terasa amat lama sekali...

Hari ini juga menyaksikan deringan telefon bimbit saya mempunyai masalah buat kali kedua dalam masa 2 minggu. Sabar ajelah...Kali pertama semasa saya berada di Shah Alam. Pening juga kepala kerana semasa di sana, telefon bombit amat amatlah diperlukan. Bukan hanya untuk berhubung dengan isteri tercinta malahan ianya sangat perlu untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Sekarang tengah dok melanguk di Jaya Jusco, meminta simpati restoren restoren yang menyediakan perkhidmatan free wifi...mungkin, inilah salah satu cara mengurangkan kebosanan selain berjalan jalan...jika berjalan jalan, sudah pasti ianya sangat memenatkan...

Friday, March 18, 2011

Ping Pong 2

Pengalaman baharu dalam hidup saya. Seminggu berkampung di Shah Alam bagi mengiringi pasukan ping pong Melaka ke peringkat kebangsaan. Ada seronok, ada sedih dan ada juga perasaan ini tidak dapat digambarkan dengan perkataan.

Jika diukur mengikut jawatan,memang terkejut dan amat berat. Memandangkan GPK sekolah saya tidak dapat hadir, saya telah diberi jawatan sebagai pengurus pasukan Melaka. Bermula dengan mesyuarat pengurus pasukan pada waktu malam sehari sebelum kejohanan bermula, segalanya agak kekok. Mana tidaknya, majoriti pengurus yang hadir amat berpengalaman. Terima kasih kepada Mr Seit kerana banyak memberi tunjuk ajar dalam mengendalikan tugas ini. Saya amat menghargainya.

Hari pertama kejohanan bermula, keadaan agak kelam kabut sedikit. Namun, alhamdulillah segalanya terkawal. Pengalaman ini amat berharga untuk saya. Namun, apa yang menyukarkan saya pada ketika ini ialah speaker pada telefon bimbit saya mempunyai masalah. Jadi, apa jua komunikasi antara saya dan ketua kontinjen hanya menggunakan pesanan ringkas sahaja. Sedih memang sedih sebab telefon ini baharu sahaja dibeli. Saya rasa belum sampai 2 bulan pun. Yang peliknya, pada hari keempat kejohanan, telefon bimbit saya dapat berfungsi seperti biasa. Pelikkan?

Terima kasih kepada semua guru pengiring yang memberikan kerjasama yang sangat baik. Kepada semua pemain, kekalahan pada kali ini bukan penamat atau noktah bagi mencapai kejayaan. Berusahalah lebih gigih agar lebih berjaya pada masa akan datang.

Tuesday, February 22, 2011

Ping Pong

Pada hari ini, sekolah kami diberi tanggungjawab menganjurkan pertandingan ping pong peringkat negeri. Alhamdulillah, setakat ini tidak menghadapi masalah besar. Masalah-masalah kecil tu biasalah...

Setiap apa yang kita lakukan, kadang-kala memang tidak perfect. Pasti ada kekurangan di sana-sini. Apa yang penting, apa yang kurang kita perbetulkan. Buatlah penambahbaikan. Tak kan kita hendak melakukan kesilapan buat kali kedua.

Ya, akhirnya saya berfikir, untuk menjadi lebih baik, kita dapat belajar daripada kesilapan-kesilapan ini. Inilah yang dinamakan belajar daripada kesilapan. Belajar daripada pengalaman. Semoga pengalaman hari ini dapat dijadikan pengalaman yang berharga khususnya untuk diri saya yang banyak kekurangan ini.

Thursday, February 17, 2011

Kenapa ek?

Post kali ini adalah berkisar dengan cerita di televisyen akhir-akhir ini.Kalau anda perasan, berlumba-lumba pengarang drama untuk menghasilkan cerita hantu. Apa yang saya faham (berdasarkan pembacaan) di buku - buku dan dimajalah-majalah.

Pada pendapat saya, tidak ada untungnya kita jika sering disajikan dengan cerita-cerita hantu. Yang mengaut untung dua tiga juta hanyalah penerbit cerita itu sendiri. Ia mungkin juga akan menyebabkan akidah kita terpesong serta yang pasti, perasaan takut kita akan menjadi-jadi. Sebenarnya, perasaan seperti ini bukanlah perasaan yang kita mahu.

Jadi, saya amat berharap pihak yang berwajib akan mengubah situasi seperti ini. Kita perlu tanamkan dalam diri kita yang kita hanya takutkan Allah. Ya, hanya kepadaNya.

Tuesday, February 15, 2011

Doa Mustajab

Semenjak dua menjak ini, nampaknya blog ini segar sedikit. Mana tidaknya, tuan punya blog masih lagi "ketagihan" meng"update" blognya dengan menggunakan telefon bimbit BARUnya itu walaupun hakikatnya, tidak ada cerita yang menarik pun yang hendak diceritakan.

Dahulu, sebelum saya berpidah ke rumah saya ini, saya ada meminta sedikit pendapat daripada bapa dan abang ipar saya berkenaan dengan cara atau kaedah untuk mula menduduki rumah yang baharu siap dibina oleh pemaju.Setelah berbincang, saya dan isteri membuat keputusan untuk berjumpa dengan seorang ustaz di Batu Pahat, Ustaz Kaspin namanya. Saya amat mengingati nama beliau walaupun peristiwa ini sudah berlaku lebih kurang 3 tahun yang lalu kerana secara kebetulan, saya pernah mengajar anak beliau semasa saya bertugas di Kluang dahulu.

Dipendekkan cerita, soalan akhir beliau adalah samada kami(saya dan isteri) suka atau tidak untuk menerima tetamu ke rumah baru kami ini? Jawapan kami, Ya. Beliau membacakan sedikit doa kepada air mineral yang saya bawa serta menunjukkan cara untuk menggunakan air ini.

Alhamdulillah, setelah 3 tahun kami tinggal di rumah ini, ramai saudara-mara serta sahabat handai yang sudi datang bermalam di sini. Sememangnya, kami amat mengalu-alukan kehadiran mereka kerana saya percaya, kehadiran mereka akan menambahkan rezeki yang melimpah - ruah dari ALLAH.

Hari ini, kakak ipar saya datang melawat kami. Minggu lepas, kawan isteri saya serta sepupu saya sempat menjejakkan kaki di rumah saya ini. 2 bulan lepas pula, abang saya sekeluarga telah sudi bermalam di rumah saya.

Malam ini saya terfikir sendirian, berkat doa Ustaz Kaspin, Allah bukakan hati keluarga, sanak - saudara serta sahabat handai untuk bertandang ke rumah kami. Sesungguhnya, kehadiran mereka secara jujurnya memeriahkan lagi rumah ini dan kami amat menghargai kesudian mereka ke sini lagi...Terima kasih ALLAH. Terima kasih ustaz. Terima kasih semua.

Monday, February 14, 2011

Checklist

Bilalah agaknya nak rehat sikit ni. Terasa macam banyak betul kerja yang perlu disiapkan. Masa macam cepat sahaja berlalu.Semakin dikejar, terasa seperti tidak dapat juga hendak mengejarnya.

Antara kerja yang ingin diselesaikan pada minggu ini ialah:-
1. Minit mesyuara Panitia PJK.
2. Melengkapkan fail Panitia PJK.
3. Merangka perancangan pengajaran secara terperici untuk penggal pertama ini.
4. Mengemas susunan barang-barang di rumah.
5. Menyiapkan kerja-kerja untuk Pertandingan Ping Pong.
6. Mengemaskini maklumat Pertandingan Gimrama.
7. Mengemaskini data untuk Pertandingan Renang.
8. Kelas tambahan untuk minggu hadapan.

Semoga masa tidak berjalan begitu cepat. Esok cuti umum bagi negeri Melaka. Terima kasih kepada Nabi Muhammad kerana disebabkan oleh bagindalah, saya dapat merasai nikmat bercuti setelah berhempas pulak pada minggu-minggu sebelum ini. Semoga ia dikira sebagai salah satu ibadah saya.Amin Ya Allah...

Tare Zameen Par

Ini bukan cerita Hindustan biasa-biasa. Ia mengisahkan seorang murid yang mempunyai masalah pembelajaran atau lebih tepat lagi,disleksia. Saya sedikit teruja menonton cerita ini. Mungkin, ia disebabkan oleh perkaitan antara cerita ini dan bidang pekerjaan saya.

Melalui cerita ini, baharulah saya tahu yang ramai orang yang berjaya terdiri daripada murid - murid yang mempunyai masalah pembelajaran atau lebih tepat lagi,disleksia. Antara nama yang disebutkan ialah Albert Einstain serta pencipta lampu (saya lupa nama beliau). Sebenarnya, ada ramai lagi nama yang disebutkan tetapi malangnya, ingatan saya agak kurang baik pada malam ini.

Melalui cerita ini, saya dapat melihat kegigihan seorang guru mendidik anak murid yang mempunyai masalah ini. Saya berharap sikap begini ada pada diri saya kerana setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, ianya dicatat dan seterusnya akan dihisab kelak. What you give, you get back!

Semoga diri ini tidak lalai dan sentiasa memberikan yang terbaik...Manusia memang tidak perfect tapi kita perlu membuat sesuatu itu dengan sehabis baik.

Secara keseluruhannya mengenai cerita ini, jika penonton yang menonton cerita ini tidak menitiskan air mata, saya rasa ada something wrong pada penonton itu...Itu hanya agakan peribadi saya sahaja.

Saturday, February 12, 2011

Akur

Agaknya dah bersawang blog ini.Bukan dah tidak mahu mengemaskini blog tapi disebabkan oleh masa yang tidak mengizinkan.Ada 2 cerita yang ingin diceritakan.

Satu, kami baharu sahaja menukar hp. Dahulu, kami beriya-iya untuk kekal menggunakan hp lama namun disebabkan beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya kami menukar kepada hp lain.Ianya dibeli pada hari akhir cuti tahun baru cina.Terima kasih Allah yang memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Benarlah kataNya, Dialah mengetahui yang terbaik buat hambaNya. Di sebalik kesakitan, tersimpul sedikit keceriaan yang tidak diketahui pada mulanya.

Kedua, beban yang digalas untuk megajar tahun 6 juga telah dibahagi separuh kepada Cikgu She.(kawan baik yang juga mengajar Bahasa Malaysia). Justeru, saya boleh memberi tumpuan yang lebih kepada 6B.

Semoga mereka berjaya dalam UPSR.AMIN...

Thursday, January 6, 2011

Kelakar

Hari ni 1st day memulakan pengajaran di sekolah. Maklumlah, orang sudah memulakan tugas namun saya masih berada di wad kerana menghidap penyakit Pnemotorax. Apa boleh buat. Sudah hujung hujung cuti, baharulah terasa akan sakitnya badan ini. Ingatkan sakit biasa biasa. ..Dugaan...

Tahun ini, saya diberi tanggungjawab unrtuk mengajar tahun 6 (setelah berehat selama setahun), tahun 3 serta tahun 4.Terkejut apabila memasuki sebuah kelas di tahun 6. Seorang murid memberitahu yang dia akan berpindah pada minggu hadapan...Hati saya berbunga-bunga juga tentang perpindahan ini.Mengapa tidak berpindah sebelum sesi persekolahan bermula?

Selepas kelas, saya ada juga menyiasat sedikit sedikit. Akhirnya, saya mendengar yang alasan murid ini dipindahkan oleh keluarganya kerana saya yang mengajar Bahasa Malaysia. Ye lah...Mungkin,tangapan keluarganya, mana boleh orang Melayu mengajar orang yang bukan berbangsa Melayu....

Saya masih ingat prestasi murid ini sebenarnya biasa biasa sahaja. Kelakar juga alasan keluarga ini. Biarlah. Mungkin, jika keluarganya memindahkan anaknya ke sekolah lain, anaknya akan mendapat keputusan yang cemerlang semasa UPSR nanti. Semoga berjaya.

Terima kasih kepada pentadbir di sekolah saya yang masih memberikan kepercayaan kepada saya. Insyaallah, saya akan berusaha agar keputusan pada tahun ini meningkat dan berjaya dengan cemerlang...