Wednesday, March 31, 2010

Isu

Akhir-akhir ini, kta sentiasa mendengar keluhan - keluhan orang ramai berkenaan fenomena membuang anak yang baharu lahir. Ia bukan sahaja dibincangkan oleh golongan profesional malahan juga dibincangkan oleh golongan artis-artis.

Tetapi pada pandangan saya, kebanyakkan perbincangan yang dipaparkan lebih terarah pada isu anak yang dibuang itu sendiri. Sepatutnya, perbincangan haruslah dilakukan secara holistik. Cuba kita fikirkan siapa yang biasanya membuang anak-anak yang tidak berdosa ini? Kebanyakkan kes adalah berpunca dari hubungan luar nikah. Apabila mereka sedar yang mereka mengandung, mereka buntu mencari penyelesaian kepada masalah ini. Akhirnya, mereka mengambil jalan mudah!

Banyak sebab berlakunya masalah ini. Antaranya ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Selain itu, ia juga berlaku kerana hubungan ibu bapa yang renggang yang mengakibatkan anak-anak ini terabai.

Tidak hairanlah , saya ada mendengar kata-kata daripada seorang penjaga di rumah penjagaan anak-anak remaja bermasalah. Beliau mengatakan pada bulan Julai hingga September, jumlah remaja wanita yang datang kerana mengandung anak luar nikah antara yang teramai jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain.

Ini kerana banyak sambutan yang "dirayakan" oleh golongan-golongan ini. Antaranya sambutan tahun baru serta sambutan hari kekasih.

Justeru, pada pendapat saya, ibu bapa harus memainkan peranan yang penting. Jangan harapkan orang lain jika mahu anak-anak berjaya.

Tuesday, March 30, 2010

Berkembang

Mengikut statistik, pada tahun 1990,jumlah bilangan penduduk Muslim dunia hanyalah 12.4%. Ianya didominasi oleh penduduk yang beragama Kristian sebanyak 26.9%. Peratusan ini telah berubah dari tahun ke tahun yang mana jumlah penganut agama Islam didapati telah berkembang lebih tinggi dan lebih tinggi saban tahun.

Jika mengikut statistik terkini,pada tahun 2000, jumlah penduduk Islam dunia berubah menjadi 19.2%. Ia peningkatan sebanyak 6.8% selama 10 tahun berlalu. Jika dikira secara matematik, peratus peningkatannya hanyalah 0.68% setahun. Namun, alhamdulillah, sekurang-kurangnya, ia masih dikatakan peningkatan. Namun, peratus penganut agama Kristian juga didapati meningkat kepada 29.9%. Purata peningkatan setiap tahun adalah sebanyak 0.3%.

Tetapi kita tidak boleh menganggap yang kita telah berada di zon selesa. Dakwah bukan tugasan orang agama sahaja. Dakwah bukan tugasan alim ulamak sahaja. Ianya tugasan Muslim sejagat.

Apa yang mendukacitakan, ada dikalangan Muslim kita sendiri yang "mengkondem" orang-orang yang sedang berdakwah. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak turut serta untuk berdakwah, janganlah kita "mengkondem" usaha-usaha murni mereka ini. Itu lebih baik rasanya.

Sumber: Majalah Milenia Muslim keluaran April 2010

Monday, March 29, 2010

Tensi

Hari ini antara hari yang amat memenatkan. Dari jam 7.00 pagi hinggalah jam 5.30 petang, ada sahaja yang perlu dilakukan...apa boleh buat,as a goverment servent, perkataan yang biasa kita baca ialah "saya yang menurut perintah".

Awal pagi hingga tengah hari, menghias bilik tv [dah nak masuk bulan 4, baharulah nak menghias bilik ni...kesiannya..] , masuk ke kelas seperti biasa kemudian menyediakan kerja yang murid-murid perlu lakukan sempena ketiadaan saya selama 3 hari di sekolah ini. Saya ditugaskan untuk membantu di Kejohanan Olahraga Kawasan. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, saya mesti meninggalkan murid-murid kesayangan saya selama 3 hari ini.

Petangnya pula, saya perlu ke SMK Cannossa Convent untuk mendengar taklimat tentang kejohanan esok. Yang kesiannya ialah isteri saya. Beliau terpaksa menunggu sehingga jam 5.00 petang kerana beliau belum mempunyai keyakinan diri untuk memandu kereta. Kesiannya...

Malam pulak, internet connection ada problem. Lepas godek-godek sikit, alhamdulillah. Ianya dapat berjalan dengan baik semula. [Kebetulan].

Semoga segalanya berjalan lancar...Aminnn...

Friday, March 12, 2010

Tempat jatuh lagi dikenang...

Hari ini, bermulalah upacara menghabiskan wang...lalala...Kami berdua akan berlepas ke Kota Kinabalu...tempat permainan saya selama 3 tahun 11 tahun yang lalu. Esok, kami akan bermula operasi menawan Sabah bersama dengan Naim dan isteri [rakan sekelas a.k.a pengantin baru...].
Harap percutian kali ini berjalan dengan lancar...Cuti seminggu ni merupakan cuti yang paling pack dalam pengalaman hidup saya selama 32 tahun ini. Bermula hari ini hingga Isnin,kami akan berada di Sabah. Selasa hingga Rabu, Kami akan berada di Kuala Lumpur. Khamis hingga Jumaat,kami akan berada di kampung di Batu Pahat. Sabtu, kami akan pergi ke Johor Baharu dan akan kembali semula ke Melaka selewat-lewatnya pada hari Ahad. Isnin...mula bekerja seperti biasa...Itulah perancangan kami..Semoga Allah memudahkapercutian kami pada kali ini.Amin...

Kami telah selamat mendarat di Terminal 2, Kota Kinabalu...Terllau banyak perubahan selepas meninggalkan Kota Kinabalu selama 11 tahun.

Wednesday, March 10, 2010

SPM

Esok pagi merupakan hari yang ditunggu-tunggu bagi calon-calon SPM tahun 2009. Mungkin, disebabkan oleh itu, ramai di antara calon -calon yang tidak selesa untuk tidur dengan nyenyak pada malam ini. Situasi begini juga terjadi pada saya 15 tahun yang lepas.

Semoga semua calon yang telah berusaha bersungguh-sungguh berjaya dengan cemerlang teutama buat anak saudara saya, Amir Khairuddin bin Mohd Zin.

Alhamdulillah, Amir telah berjaya mendapat 7A, 3B...A untuk BM,BI,FIZIK,KIMIA, MATEMATIK TAMBAHAN,MATEMATIK dan Sejarah...Tahniah. Pesanan saya, teruskan berusaha, jangan cepat puas hati dan ingat Allah selalu. Semoga berjaya menjadi orang yang berguna apabila sudah berjaya kelak

Monday, March 8, 2010

Masjid Selat Melaka

Selepas lunch di Mc D, saya dan isteri terus bersiar-siar di Masjid Selat Melaka. Pemandangannya indah dan suasananya sangat tenang jika dibandingkan dengan fenomena cuaca masa kini.

Sampai di masjid ini, terus masuk ke dalam selepas selesai mengambil wuduk. Sebelum mula bersolat, hati tergerak untuk menghidupkan kipas yang letaknya betul-betul hampir dengan saya.[Kipas berdiri].

Setelah selesai bersolat, baharu saya sedar bahawa saya tidak merasa pun angin dari kipas ini. Saya hanya mendengar bunyi geseran perlanggaran antara angin laut yang bergerak dari kanan ke kiri saya sambil melanggar angin yang dihasilkan oleh putaran kipas ini yang berada berhampiran dengan saya. Semestinya, saya tidak berasa panas. Saya berasa sangat selesa, tenang dengan angin tulen pemberianNya.

Masyaallah. Hebatnya kuasa Allah. Allah ingin memberi pengajaran dan kesedaran kepada saya. Tanpa izinNya, kita tidak akan berjaya.

Thursday, March 4, 2010

Penambahbaikan

Kejadian ini berlaku 2 hari yang lalu, sekitar jam 2.15 petang di salah sebuah bank yang terkemuka di negara ini. Saya selalu tidak menggunakan baki wang syiling selepas membeli barang. Saya hanya menyimpannya di dalam tabung. Lama - kelamaan, tabung itu pun penuh. Setelah dikira, nilainya agak banyak...[ratusan ringgit...berat jugalah membawa wang ini menggunakan plastik Jaya Jusco].

Sampai sahaja di bank ini, saya memaklumkan kepada customer service, lalu beliau memberikan nombor giliran kepada saya dan meminta saya naik ke tingkat atas. Setelah beberapa minit menunggu, sampailah giliran saya. Saya memaklumkan kepada pegawai itu yang saya ingin memasukkan wang syiling ini ke dalam akaun simpanan saya. Beliau meminta saya pergi ke bahagian kiri sekali dan masuk ke dalam sebuah bilik.

Saya pun masuk ke dalam bilik yang dimaksudkan. Seorang pegawai bertanya tentang tujuan saya. Apabila saya mengangkat beg plastik wang syiling ke meja kaunter, pegawai ini terus berkata

"Encik, urusan berkaitan dengan wang syiling hanya boleh dijalankan sebelum jam 12.00 tengah hari."

Saya dengan keadaan blur membalas.."Saya bukan untuk menukar wang. Saya ingin memasukkan wang syiling ini ke dalam akaun simpanan saya."

Pegawai itu membalas lagi, "Ya Encik,saya tahu. tetapi ia hanya boleh dilakukan sebelum pukul 12.00 dengan nada yang lebih tinggi."

Pakcik jaga yang ada di dalam bank itu pun menunjukkan sedikit kuasa yang ada..." Encik, sekarang sudah pukul 2. Kan dah ada tertulis di kertas di cermin itu, sebelum pukul 12."

Hati semakin panas. Panas kerana membuang masa, panas kerana penat menaiki tangga sambil menjinjing wang syiling berkilo-kilo dan semakin panas lagi apabila ada pegawai menegur pelanggannya dengan nada yang sedikit tinggi...

Sampai di rumah, saya membuat aduan kepada customer service bank ini. Aduan saya begini,

" Sebelum ini, saya tidak pernah mengeluh dengan perkhidmatan m******.tetapi kejadian hari ini sangat mengecewakan saya.Saya tidak boleh memasukkan wang ke dalam akaun simpanan m***** saya sendiri kerana wang yang ingin dimasukkan itu merupakan wang syiling. Alasan,urusan berkenaan syiling hanya boleh dijalankan sebelum pukul 12.00 tengah hari.Persoalan saya:-saya BUKAN untuk menukar wang daripada syiling kepada ringgit.Saya ingin bank in duit saya ke dalam akaun M**** saya sendiri.Pada pendapat saya,jika urusan pertukaran wang- bukan berurusan dengan simpanan, mungkin ada logiknya dengan alasan yang diberikan tadi.Apalah salahnya,pegawai yang mengurus bangun dan memasukkan wang syiling berkenaan ke dalam mesin pengira.Mana mungkin orang yang bekerja seperti saya pergi sebelum pukul 12.00 tengah hari. Harap ia diberi perhatian sebagai penambahbaikan kualiti m***** sendiri."

Sehari selepas itu, saya pergi ke CIMB kira-kira jam 4.10 petang.Biasanya, pelanggan luar sudah tidak boleh masuk tapi di sini, ianya tidak menjadi masalah. Segala urusan berjalan lancar. Alhamdulillah.

Hari ini, pengurus di cawangan bank berkenaan menghubungi saya. Beliau meminta saya menceritakan kembali apa yang terjadi. Saya menceritakan "pengalaman" saya ini.

Beliau memaklumkan, tiada had masa untuk urusan ini. Beliau meminta maaf dan memberi jaminan perkara sebegini tidak akan berlaku pada masa akan datang.

Saya pula menyatakan kepada beliau yang saya tiada niat untuk memburukkan imej bank ini. Oleh kerana itu, saya membuat aduan terus. Tidak seperti sesetengah orang, hanya berani menulis surat di kolum surat khabar ibarat baling batu sembunyi tangan sambil mengucapkan terima kasih kerana mengambil berat aduan saya. Semoga perkara seperti ini tidak akan terjadi kepada orang lain.

Persoalan, adakah saya membuat tindakan yang betul? Adakah saya mementingkan diri sendiri? Adakah saya tidak sabar? Hanya Allah yang mengetahui hati ini.