Salam…
Sudah lama rasanya saya tidak mengupdate blog. Bukan kerana kesibukan tetapi ianya mungkin kerana tiada apa yang ingin diceritakan. Entah,tidak tahu kenapa namun itulah hakikatnya. Niat untuk mengupdate blog ada namun kadang-kala,niat itu terbantut di tengah-tengah jalan…huhu
Mungkin, masih ada sisa-sisa peluang untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di mana jua anda berada. Hormatilah ibu. Sayangilah ibu. Doakanlah ibu. Tiada ibu,maka tiadalah kita. Pengorbanan ibu tidak boleh dijual beli. Tidak lupa juga kepada semua guru, Selamat Hari Guru.
Emm…Bercerita tentang Hari Guru ini, mungkin banyak yang boleh diceritakan. Saya juga seorang guru. Kakak saya seorang guru. Kakak ipar saya seorang guru. Abang ipar saya seorang guru. Dua abang saya juga bekerja sebagai seorang guru. Isteri saya juga seorang guru. Pendek kata, separuh daripada keluarga saya bergelar pendidik.
Apabila kami berkumpul, kami kurang berbincang mengenai hal-hal lain. isu yang sering dibincangkan hanyalah berkisar tentang pendidikan. Walaupun ianya bukanlah secara formal, namun hakikatnya ia adalah perbincangan mengenai teknik-teknik yang terbaik dalam memajukan anak bangsa kita.
Hati kadang kala terguris apabila tugas guru sering dipertikaikan. Tidak cukup dipertikaikan di dada-dada akhbar malahan ia juga dipanjangkan terus ke pengarah di Jabatan Pelajaran Negeri. Pada pendapat saya, ianya amatlah tidak adil sama sekali. Janganlah kita menghukum insan yang bernama guru dek kerana kesilapan yang dilakukan oleh sebilangan kecil guru-guru.
Ada yang mengatakan guru sekarang tidak bagus-mencabul murid,menghisap dadah dan meragut walhal jika dikira bilangan guru yang melakukan kerja-kerja keji ini hanyalah beberapa kerat sahaja. Ada yang mengatakan guru sekarang kurang mendidik berbanding guru dahulu, namun apakah yang sering dilakukan oleh ibu bapa apabila guru menghukum anak didiknya itu dek kerana kesalahan yang telah dilakukan?Jawapannya mudah. Saman!
Apabila anak mereka cemerlang-ibu bapa yang berbangga serta mengatakan usaha mereka. Apabila anak mereka tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan, ibu bapa mulalah membuat kesimpulan sendiri - ramai guru mudalah [kurang pengalaman…], ramai guru sudah hendak pencenlah..[sudah tidak berminat untuk mengajar..], ramai guru lelakilah…[murid takut kerana guru lelaki garang-garang…] dan ada juga alasan yang diberikan kerana ramai guru perempuan…[guru perempuan lemah lembut - murid tidak takut…].
Sepatatutnya, ibu bapa perlu berganding bahu demi memajukan prestasi anak dalam melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka perlu bekerjasama dengan guru-guru. Bertanya masalah. Bukan membuat masalah. Jika kerjasama yang mantap antara ibu bapa serta guru-guru, saya percaya dan penuh yakin, tidak ada anak yang gagal kecuali murid itu terencat akal!.
Bengkel Kuasai Penyuntingan (BM SPM)
4 months ago
No comments:
Post a Comment